Search This Blog

Friday, June 8, 2012



PINDAAN AKTA BUKTI: KERAJAAN MENGINJAK DEMOKRASI?

NGO-NGO yang menandatangani kenyataan ini, mengutuk sekeras-kerasnya pindaan Akta Bukti 1950 yang telah diluluskan di persidangan terakhir Parlimen dan akan berkuatkuasa pada 1 Jun 2012. Walaupun pindaan Akta ini membawa implikasi yang amat besar, ianya masih diluluskan tanpa perbincangan yang telus. Orang ramai tidak dibawa untuk berbincang. Tanpa waktu yang panjang untuk berbahas, Parlimen telah meluluskan Akta ini.

Kemasukan Fasal baru Seksyen 114A Akta Bukti mengandungi perkara-perkara berikut:

- Pemilik, tuan rumah, pentadbir, pengarang atau penolong pengarang untuk semua laman-laman atau akaun media sosial akan dianggap bertanggungjawab keatas apa-apa isi yang telah dipapar atau diulang paparan dilaman-laman tersebut. Kandungan paparan ini tidak semestinya oleh mereka sendiri atau pun orang yang menyamar sebagai mereka, atau orang yang menyamar, atau sesiapa sahaja;

- Pelanggan kepada perkhidmatan jaringan yang biasanya mencetak atau mengulang-cetak kandungan-kandungan akan dipertanggungjawabkan keatas penerbitan tersebut;

- Tuan punya atau individu yang menyimpan perkakas elektronik yang telah digunakan untuk mencetak atau mengulang-cetak isi kandungan tersebut , akan dipertanggungjawabkan.

Justeru dengan ini, kami merasa Pindaan ini melanggar hukum undang-undang sejagat dimana individu itu tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya. Pindaan ini telah menterbalikkan undang-undang sejagat ini, dimana individu itu akan didapati bersalah dan dia wajib membuktikan yang dia tidak bersalah.

Dalam konteks pilihanraya umum, besar kemungkinan Seksyen 114A Akta Bukti ini akan disalahgunakan oleh individu untuk mensabitkan parti politik atau bakal-bakal calon dengan jenayah. Sesiapa sahaja boleh dituduh mencetak kenyataan yang dianggap kasar atau menghasut walaupun yang dituduh tidak mencetaknya. Hanya melalui komen-komen yang tidak bertandatangan atau komen tanpa nama yang telah ditinggalkan didalam laman-laman yang ada kaitan dengan ahli-ahli politik yang berkenaan, maka ianya akan mensabitkan ahli politik tersebut sebagai bertanggungjawab memaparkan kandungan tersebut. Pindaan ini terus menggalakkan politk kotor.